Monday, October 10, 2011

Bersedia Dengan Kemungkinan Kenaikan Harga Barangan!!!


KUALA LUMPUR – Orang ramai dan pengguna di negara ini perlu bersedia dengan kemungkinan berlaku peningkatan harga barangan harian secara mendadak dalam masa terdekat.

Ini berikutan pembentangan Bajet 2012 yang antaranya melibatkan kenaikan gaji, imbuhan serta bonus tambahan kepada kakitangan awam di seluruh negara, pada 7 Oktober lalu dijangka akan mendorong peniaga tamak mengambil kesempatan menaikan harga barangan.

Bagi menghadapi kemungkinan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengambil langkah mewujudkan Jawatankuasa Pemantauan Harga bagi mengekang kenaikan harga oleh sebilangan peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Majlis Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata, pihaknya baru-baru ini menerima satu sistem pesanan ringkas (sms) dari KPDNKK yang memaklumkan tentang rancangan kementerian itu.

“Saya ada menerima sms dari pihak KPDNKK baru-baru ini mengenai penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Harga itu dan PPIM komited bekerjasama dengan Jawatankuasa tersebut.

“PPIM juga sudah mewar-warkan kepada semua aktivis-aktivis kami di seluruh negara agar melipat gandakan pemantauan di tempat masing-masing dan melaporkan sekiranya ada peniaga yang berani menaikkan harga sewenang-wenangnya,” katanya ketika dihubungi Mynewshub.my di sini hari ini.

Kenaikan harga barangan pengguna adalah satu isu normal setiap kali kerajaan mengumumkan pemberian bonus atau sebarang bentuk penyelarasan gaji serta elaun di kalangan kakitangan awam.

Di Pahang umpamanya hari ini dilaporkan, peniaga dikesan menaikkan harga daging ayam sehingga RM10 sekilogram.

Tambah Tunku Azwil, sms tersebut yang dihantar oleh Pengarah Bahagian Dasar dan Standard Kepenggunaan, Norashiken Ishak meminta semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan pengguna untuk memberikan kerjasama dengan Jawatankuasa yang bakal ditubuhkan itu.

Tunku Azwil memaklumkan bahawa jawatankuasa yang akan dianggotai dari wakil kementerian terbabit, NGO-NGO dan persatuan-persatuan pengguna itu dijangka akan melakukan pemantauan harga di semua lokasi-lokasi strategik yang dikenal pasti sama ada di dalam atau di luar bandar.

Berikut adalah kandungan sms dari KPDNKK yang dihantar kepada NGO-NGO pengguna di seluruh negara:

“Dengan pengumuman Bajet 2012, kenaikan gaji penjawat awam dll dijangka akan mencetuskan kenaikan harga oleh peniaga yang tidak beretika.

“Sebagai tindakan proaktif, KPDNKK akan menubuhkan taskforce untuk pemantauan harga dan pada masa yang sama kerjasama bersama NGO pengguna dan rakan pengguna diperlukan dalam usaha kementerian dalam menangani isu kenaikan harga dan keuntungan melampau.

“Pihak kami akan berhubung dengan persatuan pengguna dari masa ke semasa bagi maksud ini,”.

Presiden Persatuan Pengguna Air Keroh (PPAK), Safina Sulaiman berkata, KPDNKK sewajarnya meningkatkan lagi pemantauan harga di seluruh negara untuk mengekang kenaikan harga barang oleh peniaga-peniaga yang cuba mengambil kesempatan.

“Memanglah KPDNKK seharusnya mempertingkatkan lagi pemantauan, bukan sahaja di bandar malah diluar bandar demi mengelakkan kenaikan harga barangan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab”, katanya kepada kami melalui sms.

2 comments:

Haszrol said...

kenaikan harga barangan pengguna selepas pengumuman budget 2012 adalah sesuatu yang telah dijangkakan...

perumpamaan popular.. gomen naik gaji = harga barang naik..
gaji tak naik lagi, tapi barang naik dulu.. backdated katanya

Haw said...

abis laa staff swasta.. gara2 cikgu naik gaji kitarang yg merana.. huhu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...