Thursday, May 3, 2012

Stress : Kaedah & Adab Menyatakan Keluhan Hati



Pada suatu ketika, seorang lelaki mendatangi sahabat Abdullah bin Mas’ud dan berkata, “Wahai Ibnu Mas’ud, nasihatilah aku dengan sesuatu yang dapat meredakan kegelisahanku, pada waktu ini, jiwaku tidak tenteram, fikiranku kusut, tidurku tidak nyenyak dan seleraku hilang.

Abdullah ibnu Mas’ud menjawab, “Bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat

Pertama : ke tempat orang membaca al-Quran, tidak kira sama ada kamu ikut membacanya ataupun sekadar kamu hanya mendengar bacaan orang lain.

Kedua : kamu menghadiri majlis pengajian yang mengingatkan kamu kepada Allah

Ketiga : kamu mencari satu waktu yang sunyi, contohnya di waktu malam dan ketika itu kamu bangun melaksanakan ibadah kepada Allah serta memohon kepada-Nya agar diberikan ketenangan dan kedamaian hati kepadamu.

Jika selepas melakukan semua itu jiwamu masih juga tidak tenteram maka mintalah kepada Allah agar digantikan hatimu dengan hati yang lain kerana hati yang kamu miliki sekarang ini bukan hatimu”.

Manusia tidak ditegah untuk menyatakan keluhan hati asal betul caranya. Tabiat mengeluh yang sebati dengan fitrah insan ini harus dilakukan secara bijaksana dan kena pada tempatnya maka barulah keluhan itu mendatangkan kesan positif pada diri. Jika tidak betul cara dan pada tempat yang salah maka kesan negatifnya akan bertambah.

Dalam al-Quran, Allah berfirman, “Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat suka mengeluh. Apabila dia ditimpa kesusahan dia berkeluh-kesah dan apabila mendapat kebaikan (harta) dia menjadi kedekut. Kecuali orang yang melaksanakan solat. Mereka yang tetap setia melaksanakan solatnya”. (Surah al-Ma’aarij, ayat 19 hingga 23).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...