Pada suatu
ketika, seorang lelaki mendatangi sahabat Abdullah bin Mas’ud dan berkata,
“Wahai Ibnu Mas’ud, nasihatilah aku dengan sesuatu yang dapat meredakan
kegelisahanku, pada waktu ini, jiwaku tidak tenteram, fikiranku kusut, tidurku
tidak nyenyak dan seleraku hilang.
Abdullah ibnu
Mas’ud menjawab, “Bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat
Pertama : ke
tempat orang membaca al-Quran, tidak kira sama ada kamu ikut membacanya ataupun
sekadar kamu hanya mendengar bacaan orang lain.
Kedua : kamu
menghadiri majlis pengajian yang mengingatkan kamu kepada Allah
Ketiga : kamu
mencari satu waktu yang sunyi, contohnya di waktu malam dan ketika itu kamu
bangun melaksanakan ibadah kepada Allah serta memohon kepada-Nya agar diberikan
ketenangan dan kedamaian hati kepadamu.
Jika selepas
melakukan semua itu jiwamu masih juga tidak tenteram maka mintalah kepada Allah
agar digantikan hatimu dengan hati yang lain kerana hati yang kamu miliki
sekarang ini bukan hatimu”.
Manusia tidak
ditegah untuk menyatakan keluhan hati asal betul caranya. Tabiat mengeluh yang
sebati dengan fitrah insan ini harus dilakukan secara bijaksana dan kena pada
tempatnya maka barulah keluhan itu mendatangkan kesan positif pada diri. Jika
tidak betul cara dan pada tempat yang salah maka kesan negatifnya akan
bertambah.
Dalam al-Quran,
Allah berfirman, “Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat suka mengeluh.
Apabila dia ditimpa kesusahan dia berkeluh-kesah dan apabila mendapat kebaikan
(harta) dia menjadi kedekut. Kecuali orang yang melaksanakan solat. Mereka yang
tetap setia melaksanakan solatnya”. (Surah al-Ma’aarij, ayat 19 hingga 23).
2 comments:
Salam ziarah:)
salam kenall !11
Post a Comment